Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar
berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi
itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata
ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan
wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa
puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak
menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini
membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi
Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri.
Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap
menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya.
Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju,
berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk
menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup
tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah
pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T
perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama
Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka
terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia
biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu
bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah
S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan
kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah
S.W.T.
0 comments:
Post a Comment